COMFORT ZONE ATAU ZON SELESA

 Kalian pernah dengar tentang 'comfort zone'?


Bagaimana dengan kalian sendiri?

Adakah kalian berada di dalam comfort zone kalian?

Sejujurnya ketika saya agak muda (masih muda) saya kurang faham akan makna comfort zone. Untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa melayu juga saya tidak tahu. Namun saya hanya akan berkongsi pengalaman saya berkenaan comfort zone saya sendiri. Ini adalah 100% pandangan dan pengalaman peribadi saya. 


Saya mempunyai satu rutin harian yang membuatkan saya rasa selesa dan bahagia. Saya yakin kalian juga mempunyai rutin yang sama. Bayangkan perkara itu. Bagi saya, salah satunya adalah menonton movie kegemaran berseorangan dengan santai ditemani snek kegemaran. 


Ketika saya menulis ini, ya, saya terpanggil oleh movie yang saya ingin tonton. Itu lebih menyeronokkan ketika ini. Namun saya paksa diri saya, kerana tidak mahu penulisan ini kekeringan idea sekiranya saya sambung di lain waktu. 

Ini saya kira comfort zone saya,namun dari sudut yang lebih remeh dan kecil. Dari sudut yang lebih besar, ia adalah satu bentuk rutin yang menyeronokkan. Untuk meninggalkan zon selesa ini (saya sudah tahu terjemahannya), adalah sesuatu yang tidak menyeronokkan malahan sukar. Diri kita akan mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dan kita tidak sukakan kesukaran itu.

Tetapi, pentingnya untuk kita keluar kerana diri kita mempunyai kemampuan dan kebolehan yang harus kita terokai. Malangnya, semua kebolehan ini tidak akan kita temui ,sekiranya kita masih kekal di zon selasa. 

Sebagai Muslim juga penting untuk kita memahami konsep ini,kerana dari sudut lain saya merasakan 'merasa cukup' dengan amal ibadah yang kita lakukan termasuk dalam zon selesa. Penting bagi kita memperbaiki kualiti hidup sebagai muslim sebagai contoh kualiti solat dan amalan asas serta menambah ilmu dari semasa ke semasa.

Jadi,bagaimana saya cuba keluar dari zon selesa saya?

1. Cuba sesuatu yang baru.

Perkara baru selalunya sukar, namun kita akan temui sesuatu tanpa kita sedari.

2. Mulakan dengan langkah kecil.

Ya, percayakan diri kita,beri ruang untuk diri kita bertatih. Sekiranya kita tidak sukakan perubahan,mulakan dengan sesuatu yang kecil. Contohnya mencuba makanan baru yang kita tidak pernah cuba atau melakukan aktiviti baru.

3.  Memahami realiti kehidupan.

Mengapa ini termasuk dalam perkara yang perlu kita beri perhatian?

Kerana ada hari kita mungkin akan kembali dalam zon selesa kita. Malas untuk melakukan perubahan, keletihan dan sebagainya. Melakukan perubahan tidak indah. Ia memerlukan ketahanan dan konsisten dalam perubahan yang kita lakukan. Sudah semestinya saya ceritakan mengenai perubahan ke arah yang lebih baik dan positif. Sekiranya kita mengalami ini, ketahuilah ia tak mengapa untuk merasa letih ( hanya untuk sementara dan untuk perkara yang bukan melibatkan amal ibadah ) . Sekiranya kita merasa letih,rehat sebentar kemudian teruskan. Yang penting, jangan berhenti.

4. Bina rutin yang seimbang.

Kehidupan yang penuh dengan rutin yang baik nampak indah bukan. Namun sekiranya kita masih baru dengan perubahan, seimbang itu adalah kunci. Sekiranya kita memilih rutin yang 100% berlawanan dengan kehidupan sekarang, kita akan lebih cepat merasa keletihan dan kemungkinan untuk berputus asa juga tinggi. Bina rutin yang seimbang dan realistik. Sekiranya anda ingin memulakan dengan solat, perbaiki kualiti solat dan kekalkan itu untuk satu tempoh yang lama. Sekiranya anda mahu berhenti membuang masa, pilih satu aktiviti yang anda gemari dan memberi manfaat. Lakukan untuk 10 minit setiap hari. 10 minit kelihatan sebentar namun ia lebih bermakna dari 3 jam hanya untuk sehari dan anda tidak menyentuhnya lagi untuk sebulan akan datang.

5. Cari suasana atau 'CIRCLE' yang baik

Ini juga perkara penting. Suasana memainkan peranan penting,dan kita memang mudah terbawa dengan suasana. Carilah suasana yang akan membantu diri kita ke arah kebaikan. Sekiranya kita tidak mampu, maka lebih baik bersendirian dari meletakkan diri kita di tempat yang salah. Ketahuilah diri kita bertanggungjawab ke atas diri sendiri. Sayangi diri dengan cara yang betul. ( Saya akan bincang tentang ini pada bab lain )

6. Berdoa.

Ya, cari sumber kekuatan dari Yang Maha Kuat. Ketahuilah sebagai manusia kita sememangnya tidak akan sempurna, namun kita tidak mahu mensia-siakan kehidupan yang diberikan kepada kita. Tetapkan hati, buat perubahan kemudian berdoa. Penting untuk anda menyedari bahawa tindakan mesti dilakukan di samping berdoa, kerana anda mempunyai kelengkapan lengkap dari Allah. Allah sentiasa mendengar dan melihat usaha yang anda lakukan.


Saya sendiri sedang melalui fasa ini untuk membuang tabiat buruk saya kerana saya sedar musuh saya adalah diri saya sendiri. Sama-sama kita usaha untuk menjadi lebih baik setiap hari .❤

Semoga kalian mendapat manfaat dari perkongsian ini. 


Love,

        kay²



Comments

Popular Posts